Dari Meja Pemimpin
Salam Pengakap, Sejak perkhemahan pengakapyang pertama diadakan pada tahun 1907 oleh pengasas pengakap,Lord Baden Powell, yang membawa kepada penubuhannya di Malaysia, pengakap telah bergerak mantap mengikut kronologi sejarah. Dunia pengakap terus berkembang dan berbakti kepada negara dan bangsa dengan kelahiran begitu ramai ahli sejak di bangku sekolah. Dan nilai sejagat yang dibawa oleh pergerakan pengakap terus mendokong cita-cita yang tersirat untuk setiap individu yang menganggotainya untuk menjadi insan yang lebih berketrampilan, bertanggungjawab, berwibawa, sanggup berusaha dan berjasa kepada negara yang dicintai. Bagi yang pernah menganggotai pengakap,segala nilai dan aktiviti yang diceburi telah banyak mewarnai kehidupan. Maka, mereka menjadi lebih yakin, terbuka, matang dalam menghadapi situasi kehidupan yang berbagai-bagai ragam. Persoalan yang ingin ditimbulkan ialah apakah yang dapat dibawa oleh pengakap dalam situasi pendidikan aliran agama. Apakah agama tidak menggalakkan kegiatan pengakap yang dibawa oleh Baden Powell ini. Pendidikan global dalam pengakap sebenarnya lebih praktikal dan objektif. Tanpa mengira bangsa dan kepercayaan, budaya dan amalan, pengakap mendidik ahli supaya sentiasa berbaik-baik sesama manusia dan bantu membantu antara satu sama lain. Kepercayaan agama adalah hak individu dan kita harus menghormatinya. Nilai-nilai yang didapati bercanggah dengan budaya dan agama ditinggalkan. Pada masa yang sama, amalan-amalan baik dan murni dalam pengakap yang selari dengan ajaran Islam akan tetap didokong sebagai tunggak yang paling mulia dan wajib dipertahankan. Oleh yang demikian, pemahaman yang sempit terhadap Islam oleh sesetengah pihak boleh melemahkan kegiatan kepengakapan. Ada sesetengah pihak nampaknya memandang enteng akan kegiatan ini. Mereka meletakkan seolah-olah kegiatan seperti kuliah agama, takzirah, qiamullai, dan lain-lain program keagaaman dan pertubuhan agama sahaja yang dapat memberi kesan kepada pendidikan moral dan tingkah laku umat. Walhal amalan tolong menolong, berusaha gigih dan sabar sepanjang masa, bersikap penyayang dan taat setia seperti yang terdapat dalam Persetiaan Pengakap dan Undang-undang Pengakap sebenarnya adalah fardhu kifayah yang selari dengan tuntutan Islam. Justeru, walau apapun tanggapan negatif dari mereka yang tidak faham tentang ilmu pengakap, kegiatan kepengakapan (scouting) akan terus bergerak tanpa melaung-laungkan slogan atau ungkapan-ungkapan retorik .Dalam konteks pengakap di sekolah ini, sebagai pemimpin, kegiatan pengakap akan terus berjalan mengikut kurikulum yang tersedia dan tidak akan bersalut dengan fahaman keagamaan yang sempit. "SEKALI BERPENGAKAP,TERUS BERPENGAKAP".
|